Apakah Rotavirus dan Adakah Ia Merbahaya?

ROTAVIRUS telah dikenal pasti sebagai punca utama masalah cirit birit. Sebanyak 600,000 kematian akibat Rotavirus dicatatkan setiap tahun di seluruh dunia.

Merujuk kepada data Kementerian Kesihatan antara 1999 hingga 2000, dianggarkan satu daripada 37 kanak-kanak berusia bawah lima tahun dirawat sebagai pesakit luar akibat Rotavirus. Manakala satu daripada 67 ditahan dalam wad sementara satu daripada 15,000 berdepan dengan kematian.

Dalam pada itu , sebanyak 3,444 kes direkodkan oleh Jabatan Kesihatan Perak setakat 16 Februari lalu melibatkan wabak acute gastroenteritis (AGE) berpunca daripada Rotavirus.

Menurut Pakar Perunding Kanan Perubatan dan Ketua Unit Gastroenterologi, Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu, Datuk Dr, Ahmad Shukri Md Salleh, Rotavirus adalah virus yang berjangkit melalui makanan, minuman dan hasil kumuh.

“Apabila kanak-kanak mendekati barang-barang yang telah dicemari dengan kotoran yang mengandungi Rotavirus , kanak-kanak tersebut berpotensi untuk dijangkiti.

Keadaan menjadi lebih berbahaya kerana Rotavirus mampu bertahan sehingga beberapa hari di satu tempat sebelum menjangkiti mangsanya.

Kanak-kanak yang berada dalam lingkungan umur enam bulan hingga 24 bulan dilihat sebagai golongan yang paling mudah terdedah kepada jangkitan Rotavirus,” ujarnya.

Tambah Dr. Ahmad Shukri, ciri-ciri pesakit yang dijangkiti oleh Rotavirus adalah cirit-birit, muntah dan demam.

Dalam konteks ini, orang ramai sering terkeliru antara Rotavirus dengan demam atau cirit biasa.

Dr. Ahmad Shukri menjelaskan, sindrom jangkitan Rotavirus boleh bertahan lebih lama.

Sindrom ini boleh berkekalan sehingga sembilan hari, malahan sindrom cirit-birit yang dialami boleh berterusan sehingga tiga minggu lamanya.

Apa yang lebih membimbangkan adalah kanak-kanak mungkin mengalami cirit-birit sehingga 20 kali sehari.

” Rotavirus justeru boleh membawa kepada masalah kekurangan air dalam badan yang boleh membawa maut kepada kanak-kanak terbabit. Mereka yang dijangkiti akan menjadi lesu, kulit sejuk dan kering, tiada air mata ketika menangis, mulut yang kering, mata menjadi cengkung dan rasa haus yang melampau,” katanya.

Pencegahan

Dr. Ahmad Shukri memberitahu, sehingga kini belum ada ubat dan rawatan spesifik untuk mencegah penyakit ini.

“Pada tahun 2006, vaksin untuk Rotavirus telah dihasilkan. Vaksin ini berupaya merangsang badan kanak-kanak untuk meniru tindak balas imunisasi kepada jangkitan Rotavirus . Keadaan ini membolehkan badan kanak-kanak menghasilkan imunisasi terhadap jangkitan Rotavirus yang sebenar pada masa depan.

Proses ini akan meringankan sindrom-sindrom yang akan menimpa kanak-kanak hasil jangkitan Rotavirus berkenaan mengurangkan kadar masuk ke wad di kalangan pesakit Rotavirus sehingga 96 peratus. Tiga dos vaksin berbentuk oral harus diberi kepada kanak-kanak berumur dua, empat dan enam bulan,” katanya.

Meskipun vaksin merangsangkan pelalian atau keimunan dari kecil supaya serangan pertama Rotavirus hanya menyebabkan jangkitan ringan atau tanpa gejala, mintalah maklumat lanjut daripada doktor anak anda sekiranya anak anda mengalami simptom yang serius.

“Bagi menangani jangkitan Rotavirus, tiada rawatan antiviral spesifik digunakan. Rawatan dengan oral rehidrasi adalah penyelesaian biasa yang sering digunakan bagi menggantikan kekurangan air dalam badan. Dalam sesetengah kes muntah yang teruk, rehidrasi dengan cecair melalui laluan intravena diperlukan,” katanya.

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0219&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kesihatan&pg=kn_02.htm

Speak Your Mind

*